BERITA SEMASA

Malaysia, Turkiye setuju perkukuh kerjasama ketenteraan dalam pelbagai bidang

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Turkiye masing-masing menzahirkan komitmen bagi memfokuskan kerjasama ketenteraan serta pertahanan yang produktif antara kedua-dua negara.

Komitmen itu disuarakan dalam perbincangan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pertahanan Turkiye, Tuan Yang Terutama (TYT), Yasar Guler semasa lawatan kerja beliau di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), kerjasama tersebut merangkumi bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.

“Kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan merangkumi pengukuhan dan peluasan kerjasama pertahanan dua hala melalui Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dalam Kerjasama Pertahanan. MoU baharu ini merupakan instrumen perundangan yang akan memayungi kerjasama pertahanan antara kedua-dua Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera dalam pelbagai bidang.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mempercepatkan ketetapan MoU baharu menjelang akhir 2024.

Yasar Guler (kiri) menandatangani buku lawatan ketika melakukan kunjungan hormat di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

“Kedua-dua negara turut meneroka peluang baharu untuk bekerjasama dalam tahap kebolehoperasian dan kesiapsiagaan kedua-dua angkatan tentera dalam semua domain, iaitu darat, laut, udara, siber, AI dan perkongsian risikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MINDEF, lawatan kerja Menteri Pertahanan Turkiye adalah merupakan lawatan balas setelah lawatan rasmi pertama Khaled Nordin ke Ankara pada 11 Jun lalu.

MINDEF berkata, tujuan lawatan itu adalah bagi memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan yang telah lama terjalin sejak tertubuhnya kerjasama pertahanan dua hala sejak tahun 1985.

Khaled Nordin (kanan) semasa sesi pertemuan bersama Yasar Guler di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Khaled Nordin turut mengiringi Yasar Guler ke Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bagi kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semasa kunjungan hormat itu, Malaysia dan Turkiye bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu, terutamanya mengenai hubungan pertahanan dua hala Malaysia-Turkiye.
“Mereka turut membincangkan konflik yang berterusan, terutamanya di Timur Tengah, termasuk isu geopolitik sejagat,” kata MINDEF.

Tambah MINDEF, lawatan rasmi Menteri Pertahanan Turkiye pada hari ini sekali gus mencerminkan ikatan pertahanan yang kukuh antara kedua-dua negara dengan menunjukkan perkongsian yang berwibawa yang ditakrifkan oleh Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button