BERITA SEMASA

PERNAMA perlu pulangkan keuntungan kepada tentera – Mohamed Khaled

MELAKA – Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) tidak sepatutnya mengaut keuntungan daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya perlu mengembalikan manfaat perniagaannya kepada warga tentera menerusi penawaran harga barangan lebih murah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PERNAMA yang mencatatkan keuntungan sekitar RM30 juta setahun perlu mengubah pendekatan perniagaannya dengan mengutamakan kebajikan anggota ATM dan keluarga mereka.

pernama
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa, Tentera Sejahtera (HITS) di PERNAMA, Kem Terendak, di sini hari ini.

Menurutnya, PERNAMA diwujudkan untuk memenuhi keperluan warga tentera dan bukannya menjadikan mereka sebagai sumber keuntungan.

“PERNAMA tak sewajarnya buat untung dengan Angkatan Tentera. PERNAMA wujud untuk Angkatan Tentera, bukan buat untung dengan Angkatan Tentera.

pernama
Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa, Tentera Sejahtera (HITS) di PERNAMA, Kem Terendak

“PERNAMA bukan sekadar sebuah kedai runcit. PERNAMA adalah satu instrumen kesejahteraan warga tentera,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa, Tentera Sejahtera (HITS) di PERNAMA, Kem Terendak, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kempen HITS diperkenalkan bagi membantu anggota ATM, keluarga dan veteran mengurangkan kos sara hidup menerusi penawaran harga barangan keperluan harian yang lebih rendah berbanding pasaran.

Menurutnya, kempen itu menggantikan program Jualan Istimewa MADANI Angkatan Tentera (JIMAT) yang sebelum ini hanya berlangsung selama tiga hari ketika anggota menerima gaji.

“Menerusi HITS, penjimatan harga ditawarkan sepanjang masa tanpa kuota pembelian, sekali gus membolehkan anggota mendapatkan barangan keperluan pada harga istimewa apabila diperlukan.

“Bawah JIMAT dulu, saya difahamkan satu-satu kedai mungkin hanya ada 100 tin sardin. Kalau habis, habislah dalam masa satu hari.

“Jadi kita gantikan dengan HITS. Maknanya kita akan lakukan potongan harga dan penjimatan pada bila-bila masa untuk semua barangan,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara barangan yang ditawarkan pada harga lebih rendah ialah beras Faiza pada harga RM28.50 berbanding RM31.99 di pasaran, manakala satu lagi jenis beras jenama sama dijual pada harga RM30.50 berbanding RM38.60.

“Minyak masak pula ditawarkan pada harga RM12 berbanding RM13 di pasaran, manakala susu bayi dijual pada harga RM13.80 berbanding RM21.45. Bihun turut dijual pada harga RM2.50 berbanding RM3.25,” katanya.

Menurutnya, penjimatan itu dapat membantu keluarga tentera mengurus perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik, selain membolehkan lebihan wang digunakan untuk keperluan lain.

“Kalau satu bakul, di luar kita beli RM100, tetapi semua barang yang sama dibeli di kedai PERNAMA, ia hanya berharga RM70. Ada penjimatan sebanyak RM30.

“Kalau beli banyak, lagi banyak penjimatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan PERNAMA tidak bersaing dengan peniaga runcit di luar kerana kempen HITS dikhususkan untuk warga ATM, keluarga dan veteran.

Beliau turut mengingatkan PERNAMA supaya tidak menyerahkan terlalu banyak urusan kepada pihak ketiga kerana kos keuntungan perantara boleh menyebabkan harga barangan menjadi lebih tinggi.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan penyelenggaraan rumah anggota tentera akan dinaikkan kepada RM500 juta tahun depan bagi membaiki 11,000 unit rumah.

Kementerian Pertahanan turut menyediakan peruntukan RM30 juta pada tahun depan untuk membaiki sekolah dalam kem tentera, manakala LTAT memperuntukkan RM1.05 juta bagi program Sekolah Angkat MADANI yang melibatkan 42 sekolah di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 bagi meneruskan program pertanian bandar yang mengusahakan tanaman cendawan di Kem Terendak.

Mohamed Khaled berkata, usaha meningkatkan kesejahteraan anggota ATM perlu diteruskan kerana kebajikan mereka menjadi antara faktor penting dalam memastikan anggota dapat memberikan tumpuan kepada tugas mempertahankan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button