BERITA SEMASA

ATM sedia kerah aset udara bantu FDS

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menggerakkan aset udaranya bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan pemindahan perubatan kecemasan di kawasan pedalaman.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, kemudahan serta peruntukan helikopter yang dimiliki ATM mencukupi bagi memenuhi keperluan itu, khususnya dalam situasi mendesak susulan nahas helikopter FDS di Miri, Sarawak, Selasa lalu.

Menurutnya, ATM sedia bekerjasama dengan KKM sebaik permohonan rasmi bagi bantuan berkenaan diselaraskan pihak kementerian.

ā€œSebagai penyedia perkhidmatan dalam konteks keselamatan menyeluruh serta bantuan kecemasan, kita akan tampung kelompangan pada waktu kritikal ini, terutamanya di kawasan yang sukar diakses.

ā€œKita sedia penuhi permintaan pihak kementerian dan menyelaraskan gerak kerja operasi ini bersama-sama bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat tidak terjejas,ā€ katanya memetik Kosmo!

Beliau berkata demikian ketika Sesi Temubual Khas PAT sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Malek Razak berkata, bantuan ATM itu bagaimanapun lebih menjurus kepada sokongan pemindahan perubatan kecemasan dan bukan mengambil alih keseluruhan operasi perubatan rutin yang dilaksanakan KKM.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan empat agensi kerajaan termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membantu KKM melaksanakan penerbangan ihsan buat sementara waktu.

Selain TUDM, bantuan turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Langkah berkenaan dilaksanakan sementara menunggu siasatan serta penambahbaikan aspek keselamatan operasi FDS diselesaikan.

Dalam nahas Selasa lalu, helikopter BO-105 yang terhempas dan terbakar di Long Lellang, Miri mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas perubatan KKM.

Mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button