Abdul Aziz dilantik Timbalan Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR – Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lalu.
Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib pada Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan Abdul Aziz mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas diperakukan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Katanya, pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi serta daya kepimpinan yang tinggi untuk menjalankan amanah sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz, 59, berasal dari Penaga, Pulau Pinang dan memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995 dan mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang sepanjang lebih tiga dekad perkhidmatan.
Antara jawatan strategik pernah disandang beliau termasuk Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.
Pelantikan itu dijangka memperkukuh kepimpinan tertinggi PDRM berdasarkan pengalaman dan kepakaran Abdul Aziz dalam aspek pengurusan serta operasi kepolisan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








