BERITA SEMASADALAM NEGERI

Saifuddin tempelak LFL pilih isu hak asasi ikut selera

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak Lawyers for Liberty (LFL) kerana didakwa hanya memilih isu tertentu untuk bersuara, khususnya membabitkan hak asasi manusia.

Menurut beliau, LFL begitu pantas mengeluarkan kenyataan mengecam pandangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berhubung isu kes hubungan seksual bawah umur secara suka sama suka, namun berdiam diri apabila polis sendiri menjadi mangsa keganasan.

“Saya tengok Lawyers for Liberty pun cabar. Lawyers for Liberty buat itu cepat. Polis kena baling batu, senyap. Seolah-olah hak asasi hanya pada orang tertentu sahaja.

“Polis luka, kena baling serpihan batu, senyap, sepi. Tak ada satu ulasan pun daripada kumpulan ini. Nak jadi pejuang hak asasi ini, kena jadi semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di selepas melakukan tinjauan inisiatif penukaran MyKad percuma di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Polis Kelantan sebelum ini mencadangkan undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya dalam kes hubungan seksual bawah umur dengan kerelaan atau suka sama suka supaya tindakan tidak hanya ke atas pelaku sahaja, sebaliknya turut dikenakan terhadap pasangan mereka.

Mohd Yusoff dilaporkan berkata statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

Sehubungan itu beliau menyarankan undang-undang sedia ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih memahami kesan sesuatu kesalahan, sekali gus membantu membendung peningkatan kes pada masa akan datang.

Tegas Saifuddin, kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai pandangan menyeluruh kerana ia hanya dibuat berdasarkan situasi di negeri berkenaan.

Jelas beliau, perkara itu belum pun dibahas di Parlimen, dipinda atau dibawa ke mana-mana peringkat, maka tiada keperluan untuk mengapi-apikan isu berkenaan.

“Itu pendapat dia. Kekal sebagai pendapat dia dulu. Belum sampai untuk saya bagi komen apa-apa. Datuk Mohd Yusoff bagi pandangan berasaskan kepada angka-angka yang berlaku di Kelantan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button