Elak muat naik kandungan di media sosial sepanjang tempoh BDR – KDN
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan kakitangannya agar tidak memuat naik sebarang gambar atau kandungan di media sosial yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap komitmen mereka sepanjang tempoh bekerja dari rumah (BDR) bermula Rabu ini.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata, tindakan tegas tanpa pengecualian akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kemudahan tersebut sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam.
Menurut beliau, penjawat awam perlu sentiasa menjaga profesionalisme dan integriti termasuk dalam penggunaan media sosial bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan terus terpelihara.
“Ketika BDR, jangan memuat naik gambar atau hantaran di media sosial yang boleh disifatkan sebagai kita tidak menjalankan tugas.
“Contohnya, memuat naik gambar sedang bermain badminton atau berjalan di kompleks beli-belah.
“Perkara seperti ini perlu dielakkan. Jika berlaku, tindakan tetap akan diambil tanpa pengecualian. Jangan ambil risiko yang boleh memudaratkan diri sendiri,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Tegas beliau, kemudahan BDR bukan alasan untuk penjawat awam gagal mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan.
Sebaliknya, setiap pegawai bertanggungjawab memastikan tahap produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kekal pada tahap optimum walaupun bekerja dari rumah.
Awang berkata, disiplin serta kepercayaan yang diberikan melalui pelaksanaan BDR perlu dimanfaatkan sebaiknya demi mengekalkan imej profesional perkhidmatan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















