BERITA SEMASADALAM NEGERI

KDN ulangi pendirian proses permohonan kewarganegaraan 7 pemain warisan ikut undang-undang

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi mengulangi pendirian bahawa semua proses permohonan kewarganegaraan tujuh pemain warisan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan, seperti dinyatakan sebelum ini oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, proses permohonan dilaksanakan berasaskan peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pendaftaran Negara.

Mengulas mengenai pendedahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai alasan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan, Shamsul berkata, perkara itu berada dalam ruang lingkup urusan antara FIFA dan FAM.

“Sebarang tindakan susulan adalah tertakluk kepada peraturan dan tindakan yang ditetapkan oleh badan bola sepak antarabangsa berkenaan.

“Saya tidak berhajat untuk menjawab lain, tidak mahu bertentangan dengan jawapan yang dikemukakan Menteri,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi KDN di Dewan Rakyat, semalam.

Pada 18 November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mendedahkan alasan bertulis di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

Keputusan yang dimuktamadkan pada 3 November itu memaklumkan dapatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bahawa FAM dan pemain terbabit bergantung kepada sijil kelahiran palsu bagi mendakwa mempunyai keturunan Malaysia untuk melayakkan diri menyertai skuad Harimau Malaya.

Siasatan FIFA, antara lain mendapati FAM menyenaraikan datuk dan nenek pemain terbabit sebagai individu yang lahir di wilayah Malaysia, namun rekod yang diperoleh dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda membuktikan mereka lahir di negara terbabit.

Pada 30 September lalu, Saifuddin menegaskan proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, setiap proses yang dilaksanakan KDN dilakukan secara tertib dan teliti oleh pihak berwajib selaras dengan ketetapan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button