BERITA SEMASA

Terjunan helikopter Maritim Malaysia tarikan utama Sua Mesra KDN di Bandar Baharu

KUALA LUMPUR – Aksi berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjadi tarikan utama Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Bandar Baharu, Kedah pada 23 Ogos ini.

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, orang ramai berpeluang menyaksikan kecekapan anggota STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin milik Maritim Malaysia di Sungai Bandar Baharu, sebelum menaiki jetski yang menanti di permukaan air.

Aksi terjunan dari helikopter Maritim Malaysia bakal menarik perhatian pengunjung.

“Aksi dramatik turut dipertontonkan menerusi persembahan pasukan perenang penyelamat yang melaksanakan misi menyelamat mangsa di air menggunakan pesawat sama.

 

“Selain pertunjukan daripada Maritim Malaysia, program ini juga akan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan mesra rakyat oleh agensi di bawah KDN,” kata kenyataan itu.

Antara yang dijangka mendapat tumpuan ialah tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia, kemudahan bas MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta khidmat nasihat berkaitan Scam Alert oleh PDRM.

Masyarakat setempat juga bakal menikmati pelbagai aktiviti santai yang dekat dengan kehidupan harian mereka seperti program Jom Exchange Al-Quran, jualan produk Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khidmat gunting rambut percuma oleh abang RELA selain persembahan meriah pancaragam Maritim Malaysia.

Anggota STAR Team Maritim Malaysia. 

“Program Sua Mesra KDN ini bukan sahaja menjadi jambatan mempererat hubungan rakyat dengan agensi keselamatan negara, malah membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk menyantuni masyarakat melalui penglibatan langsung di lapangan,” kata kenyataan itu lagi.

Majlis tersebut dijangka disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman serta barisan ketua jabatan di bawah kementerian.

Program yang dibuka kepada orang ramai secara percuma itu dijadualkan bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button