KDN beri jaminan selesai 14,000 permohonan warganegara sebelum 31 Disember
KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan baki 14,000 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan akan diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, jumlah permohonan dibawah Akta 15A iaitu permohonan menjadi warganegara secara pendaftaran terdiri daripada anak dilahirkan di luar perkahwinan, anak angkat dan anak yang asalnya terdampar dan melepasi usia bayi adalah sebanyak 59,000 permohonan.
“Daripada 59,000 permohonan itu 35,000 sedang diproses jadi baki tinggal 14,000. Yang sedang diproses itu kadar berjaya untuk mendapat kewarganegaraan dan diluluskan adalah 98 peratus.
“Saya sendiri pada tahun lepas telah memberi kelulusan hampir 11,700 warganegara dan 85 peratus daripada jumlah itu adalah anak angkat, anak terdampar dan anak lahir di luar ikatan perkahwinan. Saya tahu saya boleh selesaikan baki 14,000 sebelum 31 Disember tahun ini. Itu komitmen kami (KDN),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan PDRM di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur (MPDRM KL) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan terdapat kes individu yang menjumpai bayi terdampar di negara ini menggunakan khidmat sindiket untuk memalsukan sijil kelahiran yang akhirnya melambatkan proses mendapat kewarganegaraan.
“Banyak sebab kenapa kita cadang untuk pinda daripada kuat kuasa undang-undang kepada pendaftaran untuk kes bayi terdampar contoh ada ibu bapa apabila dia jumpa anak terdampar, dia kemudian mendapatkan dokumen secara jalan yang menyalahi undang-undang iaitu dengan mendapatkan sijil lahir palsu,” jelasnya.
Mengulas mengenai Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang menyatakan akan menentang usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan mengenai hak kewarganegaraan, Saifuddin berkata, pihaknya akan berusaha untuk memberi
kefahaman kepada semua Ahli Parlimen sebelum ia dibentangkan.
“Saya sekarang dalam siri memberi penjelasan kepada semua ahli parlimen dan saya yakin jika saya berpeluang untuk memberi penjelasan saya yakin pindaan ini boleh mendapat sokongan yang diperlukan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








