DALAM NEGERI

17 syor diluluskan, enam tindakan awal perkukuh keselamatan pintu masuk negara

PUTRAJAYA – Kerajaan memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk antarabangsa negara dengan memberi keutamaan kepada enam tindakan segera atau ‘Quick Wins’ daripada keseluruhan 17 syor penambahbaikan yang diluluskan Jemaah Menteri semalam.

Syor berkenaan dipersetujui menerusi Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa negara.

“Antaranya ialah meningkatkan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.

“Kerajaan turut meneliti dan memperkukuh prosedur e-Vetting serta kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor, kontraktor serta individu lain yang memerlukan akses ke kawasan keselamatan terhad,” menurut KDN dan Kementerian Pengangkutan menerusi kenyataan bersama, hari ini.

Baca juga : Kawalan pintu sempadan negara diperkukuh, Kabinet lulus pelan komprehensif

Selain itu, pelaksanaan saringan dadah terhadap personel penerbangan akan diperkukuh menerusi saringan pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.

“Langkah ini disokong melalui penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA,” katanya.

Kerajaan juga akan memperkukuh penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan serta risikan melalui National Immigration Command Centre (NICC).

Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT akan turut ditubuhkan dengan segera dan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan.

“Enam langkah segera itu menjadi keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara.

“Pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut merangkumi tindakan jangka sederhana dan panjang.

“Fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang membabitkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa di seluruh negara berdasarkan risiko dan kesesuaian setiap lokasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelan tindakan berkenaan dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara, termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah serta beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi yang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem kawalan di pintu masuk negara.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan KLIA akan menjadi lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan itu sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.

“KDN dan Kementerian Pengangkutan komited memastikan setiap syor dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan.

“Langkah itu dijangka memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button