Tiga perkara dikenal pasti faktor utama pengaruhi kesihatan mental anggota polis
KUALA LUMPUR – Tiga perkara – tekanan di tempat kerja, faktor kesihatan dan keadaan persekitaran tempat kerja – telah dikenalpasti sebagai faktor utama yang mempengaruhi kesihatan mental anggota polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kesemua faktor itu menyumbang kepada gangguan mental.
“Bila kita zoom in hasil analisis ini, didapati faktor tekanan itu termasuklah berpunca daripada dia kecewa dalam perhubungan, dia ada masalah dalam penyesuaian diri penempatan baru, dia gagal untuk mengawal daya tindak diri, dia kesunyian akibat berjauhan daripada keluarga dan dia ada masalah perkahwinan.
“Semua faktor ini menyumbang kepada tekanan,” jawab beliau dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin Nastiuon berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang ingin tahu apakah faktor yang menyumbang kepada masalah gangguan mental membabitkan anggota polis.
Untuk rekod, sebanyak tujuh kes bunuh diri dalam kalangan anggota polis dicatatkan dari 2014 hingga 2018.
Tahun ini sahaja, dua kes melibatkan anggota polis direkodkan iaitu kes Lans Koperal polis yang dipercayai menembak mati isterinya dalam kejadian di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, pada 5 Mac lalu dan seorang sarjan maut selepas dipercayai menembak diri sendiri di pekarangan belakang Balai Polis Bayan Lepas pada Februari lalu.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, sejumlah 109 kaunselor ditempatkan di Ibu Pejabat Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontijen dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
“Kita ada 711 yang kita panggil sebagai AKRAB, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam,” jelas Saifuddin Nasution lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







