BERITA SEMASA

Ops Cetak: Bahan penerbitan haram bernilai RM1.2 juta dan 15,602 unit alat mainan seks disita

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyita sebanyak 19,924 pelbagai jenis hasil penerbitan haram termasuk bahan lucah bernilai kira-kira RM1.2 juta dalam Ops Cetak 1.0 yang diadakan di seluruh negara baru-baru ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan seramai 51 orang termasuk seorang bukan warganegara.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan tindakan penguatkuasaan itu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984) untuk membanteras aktiviti penerbitan haram dan pengedaran bahan yang melanggar undang-undang serta merosakkan moral masyarakat.

Bahan penerbitan haram yang dirampas dalam Ops Cetak 1.0 baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh Ops Cetak ini, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 1,759 premis dan sebanyak 119 kertas siasatan telah dibuka.

“Tindakan ini diambil berdasarkan Seksyen 3(4) dan 7(1), AMCP 1984 yang berkaitan dengan kesalahan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah serta pemilikan atau penjualan hasil penerbitan yang tidak diingini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ujarnya, pelbagai jenis bahan penerbitan yang melanggar undang-undang seperti buku, majalah, mesin cetak, pakaian, aksesori dan alat permainan seks telah disita dalam operasi itu.

Antara bahan bercetak iaitu pakaian bertulisan yang menyalahi undang-undang negara.

“Kesemua hasil penerbitan tersebut didapati bertentangan dengan nilai moral dan sosio budaya masyarakat di negara.

“Aktiviti penjualan dan pengedaran bahan ini dikesan semakin meningkat dalam talian dan dijual secara terbuka di premis perniagaan,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, semua aktiviti melibatkan perkara itu perlu dihentikan dengan serta merta.

“Segala aktiviti mengimport, menghasilkan, mempamer, menyewa, menyimpan, memiliki, mengiklan, menawarkan, atau menghantar hasil penerbitan seperti ini hendaklah dihentikan serta-merta bagi mengelakkan kesan mudarat kepada masyarakat,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya turut melakukan sitaan terhadap alat mainan seks di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Kedah.

Tulisan bercetak yang memaparkan kesalahan undang-undang di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984).

“Sebanyak 15,602 unit alat mainan seks bernilai kira-kira RM540,000 telah disita dan tujuh orang warganegara telah ditahan. Alat mainan seks ini dilarang kerana ia berlawanan dengan nilai dan budaya masyarakat dan dikhuatiri boleh membawa pengaruh negatif terutama kepada golongan muda,” katanya.

Pada masa sama, katanya, premis mencetak haram yang melanggar peruntukan Seksyen 3(4) AMCP 1984 turut diambil tindakan dalam operasi tersebut.

“Tiga premis iaitu dua di Seri Kembangan dan satu di Klang telah disita dengan nilai mesin cetak tidak berlesen dianggarkan sebanyak RM600,000 dan tiga orang warganegara lelaki ditahan,” katanya.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, pihak atau individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button