Keputusan rujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Parlimen untuk siasatan terperinci – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Keputusan Kabinet merujuk Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen diputuskan selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan jawatankuasa itu selepas mengambil kira pandangan yang dibangkitkan ketika perbahasan di dalam Dewan Rakyat.
Siasatan itu susulan kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila di Terengganu dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah.
“Sejajar dengan keputusan itu, usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan,” katanya.
Saifuddin Nasution menegaskan, Kerajaan MADANI yakin jawatankuasa itu akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan kebebasan sesuai dengan mandat yang diberikan oleh Dewan Rakyat.
“Parlimen adalah institusi yang mulia serta berwibawa. Ia tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan menyebarkan fitnah atau tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk terus memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara dan memastikan setiap isu ditangani secara berhemah serta berlandaskan prinsip demokrasi berparlimen.
Semalam, usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, ditangguhkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








