BERITA SEMASADALAM NEGERI

MyKad, pasport baharu dilancar Jun, sistem imigresen dinaik taraf sepenuhnya September

PUTRAJAYA – Malaysia bakal memperkenalkan MyKad dan pasport dengan ciri keselamatan lebih canggih bermula Jun ini, sebagai sebahagian langkah kerajaan memperkukuh sistem identiti negara dan mengekang ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu selari dengan pelaksanaan penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang dijadualkan pada September depan.

Menurutnya, pelaksanaan kedua-dua langkah itu akan menjadi detik penting dalam usaha memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat lebih lancar dan teratur.

“Dokumen baharu ini melibatkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini, sejajar dengan keperluan semasa serta cabaran keselamatan global.

“Saya yakin Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia telah bersedia dengan pelan rapi bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Beliau berkata, kementerian turut memastikan semua prasyarat teknikal dan sistem sokongan telah dipenuhi sebelum pelaksanaan MyNIISe, termasuk bagi memudahkan urusan berkaitan permohonan kewarganegaraan selaras pindaan Perlembagaan Persekutuan.

MyNIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih dua dekad, memandangkan sistem lama itu tidak lagi mampu menampung keperluan keselamatan semasa, peningkatan jumlah pergerakan serta integrasi data yang lebih kompleks.

Sebelum ini, Saifuddin memaklumkan bahawa pengenalan dokumen baharu itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan diri rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan kawalan sempadan negara yang lebih ketat bagi mengekang aktiviti sindiket yang melanggar undang-undang.

“Sempadan negara tidak boleh dibolosi. Ini antara petunjuk prestasi utama KDN tahun ini dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button