SUKAN

HYROX: Tercirit ketika berlumba, atlet Australia cetus kontroversi selepas muncul juara

BEIJING – Keputusan atlet Australia, Joanna Wietrzyk, 24, meneruskan perlumbaan selepas mengalami cirit-birit ketika saingan HYROX di Beijing, hujung minggu lalu, mengundang reaksi negatif meskipun dia akhirnya muncul juara.

Wietrzyk tidak membiarkan insiden itu menjejaskan usahanya untuk memenangi perlumbaan, sebaliknya terus mengerah tenaga sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa 1 jam, 1 minit dan 23 saat.

HYROX adalah acara yang menggabungkan larian dan beberapa stesen senaman berfungsi, yang menguji kemampuan fizikal peserta sehingga ke tahap maksimum.

Susulan kemenangan itu, Wietrzyk memuat naik hantaran di Instagram bagi meraikan kejayaannya, namun hantaran berkenaan kemudian dipadamkan.

“Mereka kata, lakukan bersungguh-sungguh atau pulang ke rumah… kemenangan tetap kemenangan. Secara seriusnya, terima kasih atas segala sokongan. Saya akan kembali tidak lama lagi x,” tulis Wietrzyk.

Hantaran berkenaan turut mengundang kritikan daripada sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan Wietrzyk meneruskan perlumbaan selepas insiden berkenaan, termasuk kebimbangan terhadap risiko pencemaran di sepanjang laluan perlumbaan.

Malah, HYROX turut menerima kritikan kerana membenarkan Wietrzyk meneruskan perlumbaan, dengan sesetengah pihak mempersoalkan sama ada wajar seorang atlet diberi keutamaan sedangkan peserta lain mungkin terdedah kepada risiko pencemaran susulan kejadian itu.

HYROX kini memandang serius perkara berkenaan dan sedang meneliti prosedur sedia ada bagi menangani kejadian tidak dijangka seperti itu ketika pertandingan.

Penganjur berkata, atlet sememangnya digalakkan untuk mendorong diri mereka sehingga ke tahap tertinggi ketika menyertai HYROX.

“Kami meminta atlet kami mendorong diri mereka ke tahap tertinggi. Ada kalanya, mereka akan melangkaui apa yang kami sendiri fikirkan mungkin dilakukan.

“Keberanian, ketahanan dan keengganan untuk mengalah itulah yang menjadikan atlet elit begitu luar biasa. Peranan kami adalah menyediakan kerangka dan batasan yang betul untuk mereka bertanding, beraksi dan menunjukkan kemampuan terbaik,” menurut HYROX menerusi hantaran di Instagram.

Menurut HYROX lagi, pihaknya mempunyai prosedur berkaitan pencemaran biologi dan perubatan, namun kejadian berkenaan menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan protokol sedia ada.

“HYROX mempunyai prosedur pencemaran biologi dan perubatan yang jelas. Dalam kejadian ini, berlaku situasi tidak dijangka apabila protokol yang direka untuk pertandingan elit dan penyertaan secara besar-besaran menjadi kabur, sekali gus mewujudkan kekeliruan mengenai cara ia dilaksanakan dan difahami,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button