Sukan instrumen terbaik menyemarakkan perpaduan rakyat pelbagai kaum – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegiatan sukan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat kerana mampu menyemarakkan semangat penyertaan serta perpaduan dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, semangat itu terbukti apabila rakyat tanpa berbelah bahagi menyokong mana-mana atlet yang mewakili negara tanpa mempedulikan latar belakang mereka.
“Kalau dalam badminton dan bola sepak, penyertaan dan dukungan itu spontan, orang tak kira samaada yang jaringkan gol itu Melayu, Cina atau Kadazan.
“Dia tak tanya siapa yang smash badminton itu, Melayu India atau Cina, ini keistimewaan. Saya lihat sektor yang lain, tidak, sukar, saya tengok dalam politik lebih-lebih lagi.
“Kerana dia terlibat daripada satu perasaan yang menunjukkan, menampilkan perbezaan, sukan dan olahraga ini sesuatu yang saya pun anggap kelainan,” katanya, ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Bukit Jalil hari ini.
Malah katanya, terdapat kajian akademik dan sosiologi yang menunjukkan bahawa sukan dapat menyatukan kelainan dan perbezaan.
Jelasnya, hampir semua kajian dibuat berpendapat bahawa satu-satunya kerangka untuk meyatukann rakyat adalah dengan kegiatan sukan dan olahraga.
Justeru itu katanya, atlet yang berbilang bangsa dan kaum mempunyai peranan dalam menyemarakkan perpaduan lebih-lebih lagi rutin mereka juga menuntut kebersamaan.
Beliau berkata penglibatan rakyat dalam kegiatan sukan perlu diperluaskan di semua peringkat termasuk desa, sekolah dan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang aktif serta bersatu-padu.
Kerajaan juga akan terus memberi penekanan terhadap kebajikan atlet termasuk kemudahan latihan dan pembangunan sukan walaupun negara berdepan cabaran ekonomi semasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan atlet, jurulatih dan guru supaya memupuk semangat kesukanan termasuk menghormati lawan serta tidak menghina pihak yang kalah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








