Ramadan wajar jadi medan perkukuh perpaduan bukan ruang tabur penghinaan – Anwar
PADANG RENGAS – Ramadan wajar dijadikan medan untuk memperkukuh perpaduan dan membina akhlak, bukannya ruang untuk bertelagah atau menabur penghinaan sesama masyarakat, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, dalam kesibukan urusan rasmi dan tanggungjawab harian, setiap individu perlu menyematkan kesedaran untuk membuat persiapan rapi bagi menyambut Ramadan al-Mubarak.
“Ramadan harus menjadi medan memperkukuh perpaduan dan membina akhlak, bukan ruang untuk bertelagah atau menabur penghinaan.
“Dalam kesibukan urusan rasmi dan tanggungjawab harian, kita wajib menyematkan kesedaran untuk membuat persiapan rapi menyambut Ramadan al-Mubarak, agar bersama-sama kita mengangkat darjat ketakwaan kepada Allah SWT dan memperteguh nilai ihsan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas menyantuni masyarakat di Dewan Terbuka Masjid Al-Taufiqiah, di sini, semalam.
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan beberapa inisiatif di bawah gagasan Kerajaan MADANI demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Antara yang diumumkan ialah peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan Masjid Al-Muttaqin, RM200,000 kepada Maahad Al-Yahyawiah serta RM140,000 kepada 28 masjid sekitar Parlimen Padang Rengas bagi pelaksanaan program Ramadan.
Selain itu, sebanyak RM60,000 turut diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Dapur MADANI peringkat Padang Rengas dalam usaha membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Tegas beliau, Kerajaan MADANI akan terus menggandakan usaha membantu rakyat di setiap peringkat, di samping memastikan nama Malaysia terus diangkat dengan bermaruah di persada dunia.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja keras memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela dan Malaysia kekal dihormati,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







