Belanjawan 2026: Sabah dan Sarawak terima peruntukan tertinggi
KUALA LUMPUR – Sabah dan Sarawak menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan berjumlah RM12.9 bilion sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Borneo.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 berkata, kerajaan bertekad memastikan pembangunan di kedua-dua negeri itu dipergiatkan dengan tindakan nyata, khususnya dalam memperkukuh prasarana asas.
“Peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala Sarawak terus meninggi kepada RM6 bilion ringgit berbanding RM2.9 bilion (2022).
“Mulai tahun ini, kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada 2023,” ujar Anwar.
Di samping itu, walaupun kawal selia bekalan elektrik di Sabah telah diserahkan sepenuhnya kepada negeri itu sejak Januari lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik.
“Ini termasuk usaha pemulihan segera selepas insiden tanah runtuh di Penampang yang memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi, mengganggu bekalan kepada 230,000 pengguna pantai timur Sabah.
“Bagi jangka panjang, pembiayaan RM765 juta disediakan untuk Projek Talian Penghantaran Southern Link,” jelas Anwar lagi.
Dalam sektor air pula, Kerajaan Persekutuan menyediakan RM1 bilion sejak 2024 bagi projek termasuk pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dengan sasaran siap tahun hadapan.
Projek lebuh raya turut diberi perhatian dengan sembilan pakej Pan Borneo Sarawak telah siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan rakyat, manakala empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap dan RM1.67 bilion disediakan untuk pelaksanaan tahun 2026.
Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 dijangka siap November 2026, manakala Fasa 2 sedang dibina dan dijangka siap pertengahan 2029.
Sementara itu, Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) pula akan melengkapkan perhubungan jalan antara Sabah dan Sarawak, dengan Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan seawal suku pertama 2026.
“Kerajaan juga akan menaik taraf struktur turapan jalan di jajaran Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dengan kos RM350 juta.
“Keseluruhan projek prasarana rakyat di Sabah dan Sarawak dianggarkan melibatkan kos RM48 bilion,” katanya.
Dalam usaha memacu transformasi digital, Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer dengan kos RM2 bilion.
Laluan ini menghubungkan Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak serta ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah sekali gus memastikan rakyat di Borneo menikmati manfaat digital setara dengan Semenanjung.
Selain itu, RM20 juta disediakan untuk memperluas tapak dan ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas bagi peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, menyokong ekonomi komuniti setempat.
Belanjawan MADANI 2026 jelas menegaskan bahawa pembangunan menyeluruh di Sabah dan Sarawak bukan sekadar janji politik, tetapi tindakan nyata kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Borneo sejajar dengan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








