JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah benarkan Vivy Yusof, suami ambil pasport sementara urus visa haji

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar mendapatkan semula pasport mereka buat sementara waktu bagi menguruskan permohonan visa menunaikan ibadah haji.

Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan peguam Shaarvin Raaj yang mewakili pasangan berkenaan.

Hakim memerintahkan pasport mereka dilepaskan bermula hari ini bagi tujuan pengurusan visa dan perlu diserahkan semula kepada mahkamah pada 9 Mac ini.

“Mahkamah membenarkan pasport antarabangsa pemohon dilepaskan bermula hari ini bagi tujuan mendapatkan visa.

“Kedua-dua pemohon perlu menyerahkan semula pasport kepada mahkamah pada 9 Mac,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Menurut Shaarvin, selepas visa diperoleh, pasangan itu akan membuat tempahan tiket penerbangan bagi menunaikan ibadah haji.

BACA JUGA:

Perbicaraan Vivy Yusof, suami bermula April 2026

Kes Datin Vivy Yusof: Peguam persoal tindakan kongsi apps sedekah

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazawani Mohamad Sobry memberitahu, pihak pendakwaan telah dimaklumkan mengenai permohonan tersebut dan tidak mengemukakan bantahan.

Sebelum ini, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, bersama suaminya, Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan melibatkan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Mereka didakwa secara bersama sebagai pengarah FashionValet melakukan pecah amanah terhadap dana pelaburan yang diamanahkan kepada syarikat itu dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku di sebuah bank di Plaza Damansara, Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button