Sindiket pemaluan dokumen kenderaan, SPRM reman 2 lagi individu
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman seorang pemilik syarikat dan seorang broker kereta berkaitan sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan.
Menurut sumber, suspek turut disyaki merasuah beberapa pegawai sebuah agensi penguat kuasa di Perak bagi menukar status hak milik kenderaan yang terlibat.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 Sept terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret S Evangelin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sivil Ipoh, pagi tadi.
Semua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang dan 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
Penahanan reman itu adalah susulan pembongkaran SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan bagi menukar status hak milik.
Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Minggu lalu, SPRM membongkarkan satu sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan di Perak apabila menahan reman enam penjawat awam dan lima ejen bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati perbuatan tersebut disyaki berlaku pada sekitar 2025. Ejen-ejen berkenaan disyaki berpakat dengan penjawat awam untuk mengemukakan dokumen palsu bagi membolehkan pertukaran hak milik kenderaan dibuat secara tidak sah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







