BERITA SEMASASUKAN

Peluru berpandu Houthi dipintas, aksi Al Nassr tertangguh sejam

RIYADH – Perlawanan Liga Juara Asia membabitkan Al Nassr yang diperkuat bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, ditangguhkan selama sejam selepas Arab Saudi memaklumkan kejayaan memintas peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh, malam tadi.

Memetik laporan AFP, pakatan tentera diketuai Arab Saudi mengumumkan pihaknya berjaya memintas peluru berpandu balistik berkenaan ketika negara itu berdepan beberapa siri serangan oleh kumpulan terbabit sejak kebelakangan ini.

Serangan sebelum ini dilaporkan menyasarkan kemudahan minyak, kapal tangki dan hab pengangkutan, selain beberapa serangan maut di lapangan terbang antarabangsa Riyadh.

Perlawanan yang dijadualkan bermula pada 9.15 malam waktu tempatan di Stadium Al-Awal Park itu menyaksikan jumlah penonton yang hadir kelihatan sedikit.

Pengumuman di stadium memaklumkan keadaan selamat dan perlawanan akan diteruskan, selain meminta penonton kekal di tempat duduk masing-masing.

Bagaimanapun, stesen televisyen yang menyiarkan perlawanan itu kemudian mengumumkan penangguhan selama sejam.

Sebelum itu, wartawan AFP melaporkan terdengar beberapa letupan di Riyadh, manakala penduduk bandar berkenaan menerima amaran melalui telefon mengenai ancaman udara.

“Kawasan ini terdedah kepada ancaman udara musuh. Sila bertenang dan kekal di rumah atau tempat selamat, jauh daripada tingkap dan pintu, serta terus mematuhi arahan pertahanan awam,” menurut amaran berkenaan.

Pakatan tentera itu kemudian mengumumkan menerusi kenyataan di platform X bahawa pihaknya berjaya “memintas dan memusnahkan” peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalang Ronaldo daripada meneruskan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol ke-981 sepanjang kariernya sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.

Al Nassr akhirnya meraih kemenangan 3-1 dalam perlawanan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button