BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Hampir 1 juta modal insan dilatih dalam tujuh dekad bukti IKMa terus perkasa gerakan koperasi

PETALING JAYA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sudah melatih seramai 944,505 pemimpin, pengurus dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan dan bimbingan sepanjang tujuh dekad penubuhannya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu membuktikan peranan IKMa sebagai pusat kecemerlangan pembangunan modal insan koperasi yang bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional, malah turut menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, IKMa yang ditubuhkan pada 1956 berkembang daripada sebuah institusi latihan kepada institusi yang berperanan penting dalam membangunkan modal insan gerakan koperasi negara.

“Selama tujuh dekad ditubuhkan, IKMa telah berjaya melatih seramai 944,505 orang pemimpin, pengurus, serta anggota koperasi menerusi 15,674 buah program latihan dan bimbingan yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Daripada sebuah institusi latihan yang bermula pada tahun 1956, IKMa telah berkembang menjadi pusat kecemerlangan pembangunan modal insan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Jom IKMa sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun IKMa, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sambutan 70 tahun IKMa bukan sekadar mengimbau sejarah, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada fasa baharu transformasi institusi itu dalam mendepani cabaran ekonomi digital, Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan mampan.

Katanya, perubahan berkenaan turut menuntut pembangunan pemimpin koperasi masa hadapan yang lebih kompetitif.

Dalam pada itu, beliau berkata gerakan koperasi kini menjadi antara tonggak penting sosioekonomi negara dengan Malaysia mempunyai 16,468 koperasi membabitkan 7.33 juta anggota sehingga 31 Disember 2025.

Menurutnya, gerakan koperasi turut merekodkan perolehan sebanyak RM82 bilion, aset bernilai RM186.7 bilion serta syer dan yuran anggota berjumlah RM18.6 bilion.

“Angka-angka ini membuktikan secara konkrit bahawa gerakan koperasi bukan lagi satu sektor ekonomi sampingan atau kecil.

“Ia telah berkembang menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang sangat signifikan yang mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah serta memperkukuhkan kesejahteraan komuniti di bandar mahupun di luar bandar,” katanya.

ikma
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin merasmikan Karnival Jom IKMa sempena Sambutan Jubli Platinum 70 Tahun Institut Koperasi Malaysia (IKMa). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mohamad berkata, selaras perkembangan itu, IKMa perlu terus menjadi institusi yang memimpin transformasi koperasi negara melalui pembelajaran sepanjang hayat, pendigitalan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.

Beliau turut melancarkan Pelan Strategik IKMa 2026-2030 yang bakal menjadi dokumen induk dalam memacu transformasi IKMa bagi tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, pelan itu merupakan manifestasi komitmen IKMa untuk terus kekal relevan, progresif dan responsif terhadap perubahan landskap ekonomi, teknologi serta keperluan gerakan koperasi yang semakin dinamik.

Ia juga selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030, Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 serta agenda pembangunan negara dalam memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) kini mempunyai 92 pelajar aktif yang mengikuti pelbagai peringkat pengajian daripada Diploma hingga Ijazah Kedoktoran.

Katanya, UKKM juga sudah melahirkan 39 alumni, termasuk mereka yang terlibat dalam pengurusan tertinggi koperasi di Malaysia.

“Penubuhan UKKM merupakan manifestasi komitmen Kerajaan untuk membawa pembangunan pendidikan koperasi ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, beliau memuji penganjuran Pertandingan Explorace Koperasi Sekolah Peringkat Negeri Selangor yang membabitkan 100 pelajar daripada hampir 20 sekolah menengah.

Mohamad berkata, program berkenaan bukan sekadar menguji ketangkasan fizikal dan daya saing, malah memupuk semangat kerjasama, kepimpinan, kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta jati diri.

Beliau turut mengajak generasi muda menjadikan UKKM sebagai destinasi pengajian tinggi pilihan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu akademik, malah mempunyai jiwa keusahawanan, semangat kepimpinan dan kemampuan mencipta peluang pekerjaan.

“Jika 70 tahun yang lalu IKMa dibangunkan untuk memperkasakan modal insan gerakan koperasi, maka 70 tahun akan datang kita mahu melihat UKKM menjadi mercu tanda pendidikan tinggi koperasi yang melahirkan generasi pemimpin, usahawan dan profesional bertaraf dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button