BERITA SEMASA

UKKM, KPDRM perkukuh kerjasama perluas akses pendidikan tinggi warga PDRM

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) mengukuhkan kerjasama strategik dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) bagi memperluas akses pendidikan tinggi kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga mereka, khususnya dalam bidang keusahawanan dan pengurusan koperasi.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Sesi Rapat Umum dan Libat Urus UKKM Bersama KPDRM yang julung kali diadakan, dengan delegasi UKKM diketuai Naib Canselor, Datuk Profesor Dr. Azali Mohamed, manakala KPDRM diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Nazarhanim Mohamad Razak.

Menurut Nazarhanim, kerjasama itu merupakan satu langkah penting bagi memastikan anggota PDRM dan keluarga mereka mendapat akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti, selain membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda dalam kalangan keluarga anggota polis untuk membina masa depan menerusi gerakan koperasi negara.

Beliau berkata, inisiatif itu diyakini mampu memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan lebih ramai usahawan koperasi yang berdaya saing.

Sementara itu, Dr. Azali berkata, UKKM komited untuk terus memperluaskan jaringan kerjasama dengan koperasi strategik seperti KPDRM bagi membolehkan lebih ramai golongan sasar menikmati manfaat pendidikan tinggi dalam bidang keusahawanan koperasi.

Katanya, universiti itu turut menggalakkan anggota dan kakitangan KPDRM serta anak-anak mereka menjadikan UKKM sebagai destinasi pilihan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan keusahawanan dan pengurusan koperasi.

Sebagai simbol komitmen terhadap kerjasama tersebut, KPDRM menyumbangkan RM10,000 kepada UKKM bagi menyokong aktiviti penyelidikan di universiti berkenaan.

Program itu turut diisi dengan sesi podcast membabitkan kedua-dua pemimpin organisasi, taklimat korporat UKKM, perbincangan kerjasama strategik serta penyerahan replika cek.

Rakaman penuh podcast berkenaan dijangka disiarkan menerusi platform media sosial rasmi UKKM dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button