BERITA SEMASA

IKMa perkasa kemahiran ahli koperasi ke arah digitalisasi

BANGI – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan modal insan dalam gerakan koperasi menerusi pelbagai kursus dan latihan yang ditawarkan kepada ahli koperasi dari seluruh negara.

IKMa bukan sahaja menyediakan latihan bersifat teknikal dan pengurusan, malah memberi tumpuan terhadap pembangunan kemahiran digital dalam kalangan koperasi, sejajar dengan keperluan era digital dan ekonomi semasa.

Antara yang menerima manfaat daripada kursus anjuran IKMa ialah Meor Ezree Syazrin, 37, dari Koperasi Komuniti Bangi Selangor Berhad, yang menyertai kursus Setiausaha Koperasi (SESKO) dan Pemasaran Digital.

“Dengan IKMa ini sebenarnya hari ini saya ada dua sijil, satu SESKO, Setiausaha Koperasi dan satu lagi, Pemasaran Digital.

“Selama ini kita ingatkan koperasi ini biasa-biasa, tapi sebenarnya ada banyak benda yang kita belajar untuk kita aplikasikan dalam gerakan koperasi,” kata Meor Ezree ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Graduan Sijil Eksekutif Koperasi 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd Zain Mat Yunus; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Hamidah Mohd Jos dan Pengarah Kanan (Pembangunan dan Perundingan Koperasi), Mohd Rasydi Abd Rashid.

Menurut Meor Ezree, segala ilmu yang diperoleh telah dimanfaatkan sepenuhnya dalam menguruskan koperasi, terutama dalam aspek pemasaran digital yang lebih menyeluruh dan fokus kepada komuniti setempat.

“Tahun lepas kami menyertai kursus Setiausaha untuk buat mesyuarat agung, dokumentasi dan digital. Kami fokus pada pemasaran digital untuk komuniti Bangi,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Badri Yunus, 60, dari Koperasi Keluarga Haji Yunus Temerloh Berhad, beliau terhutang budi dengan IKMa sejak daripada penglibatan dengan institut itu.

“Saya sebenarnya dah lama dengan IKMa, daripada maktab, sekarang dah jadi institut.

“Banyak kursus-kursus yang dianjurkan oleh IKMa memang saya ikuti daripada saya muda sampai sekarang,” katanya.

Tambah beliau, kursus-kursus seperti SESKO dan Sijil Eksekutif Pengurusan Digital (SEPD) yang diikutinya sangat membantu dari segi pengurusan dan tadbir urus koperasi secara menyeluruh.

“Saya boleh dikatakan sebagai anak didik IKMa, saya punya sifu atau pensyarah-pensyarah, ada yang dah pencen, tetapi sekarang mereka pula bergiat dalam koperasi.

“Sebelum ini saya ikuti kursus pengurusan, hari ini pula SESKO dan lepas ni SEPD. Memang kursus ini bagus untuk koperator-koperator,” katanya.

Di samping itu, Rinya Ugon, 50, dari Koperasi Keluarga Langub Berhad, Lawas, turut melahirkan rasa puas hati terhadap pengalaman menimba ilmu di IKMa.

“Saya sangat berpuas hati sebab tenaga pengajar IKMa sangat berpengalaman dan beri banyak ilmu yang perlu kami pelajari.

“Saya sangat bersyukur. Terima kasih IKMa sebab bagi kami peluang belajar sesuatu yang baru,” katanya yang mengikuti Sijil Koperasi Pemasaran Editor I, II dan Sijil Setiausaha Pengurusan I.

Rinya juga berazam untuk berkongsi segala ilmu yang diperolehinya bersama ahli-ahli koperasi demi memastikan semangat kerjasama dan pengurusan berkumpulan dapat disemai dalam kalangan ahli.

“Saya akan manfaatkan segala ilmu yang dipelajari. Sebab dalam koperasi kami, mereka bukan sahaja ahli tetapi kami semua keluarga,” tambahnya.

Dengan misi untuk melahirkan korporator yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, IKMa kini terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa gerakan koperasi secara inklusif dan mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button