BERITA SEMASA

ILTIZAM PDP buka peluang kerjaya, permohonan dibuka hingga 30 September

KUALA LUMPUR – Seramai 807 graduan Bumiputera berjaya membina laluan kerjaya masing-masing menerusi ILTIZAM Professional Development Programme (PDP) sejak program itu diperkenalkan pada 2012.

Program anjuran ILTIZAM by Ekuinas itu menjadi platform kepada graduan yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk memperoleh pengalaman kerja, latihan profesional dan bimbingan kerjaya.

Menurut Ekuinas, setiap alumni mempunyai kisah perjalanan kerjaya tersendiri, daripada berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan dan underemployment sehingga berjaya membina kerjaya dalam pelbagai sektor.

“Sejak diperkenalkan pada 2012, program ini telah melahirkan 807 alumni sehingga akhir 2025, dengan setiap alumni membawa kisah perjalanan kerjaya yang tersendiri daripada berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan dan underemployment, sehinggalah berjaya membina kerjaya dalam pelbagai sektor,” katanya.

Bagi tahun ini, permohonan ILTIZAM PDP 2027 dibuka mulai 1 September hingga 30 September 2026, dengan graduan yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi laman sesawang ILTIZAM PDP.

Program pembangunan profesional selama 12 bulan itu menempatkan graduan Bumiputera yang layak sebagai Graduate Associates di Ekuinas, syarikat portfolio atau syarikat rakan kongsi.

ILTIZAM PDP menggabungkan pengalaman bekerja secara langsung menerusi on-the-job training dengan latihan berstruktur bagi membangunkan kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan personal branding.

Peserta turut menerima gaji bulanan RM2,800 berserta caruman KWSP dan PERKESO, perlindungan insurans sepanjang program serta bimbingan kerjaya daripada mentor berpengalaman.

Penempatan di syarikat daripada pelbagai industri memberi peluang kepada peserta memperoleh pengalaman sebenar dalam persekitaran korporat, selain membina jaringan profesional bagi membantu mereka melangkah ke fasa seterusnya dalam kerjaya.

Antara alumni yang mendapat manfaat daripada program itu ialah Aini Nadia, alumni PDP 2024, yang menyifatkan penyertaannya sebagai titik perubahan dalam perjalanan kerjayanya.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Perniagaan dari International Islamic College (IIC), Gombak, Aini berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan akademiknya.

Beliau pernah bekerja sebagai kerani pentadbiran sebelum menjadi juruwang di MR.DIY.

Menerusi penyertaan dalam PDP dan penempatan di bahagian Stakeholders’ Interest, Ekuinas, beliau mendapat pendedahan kepada dunia korporat selain meningkatkan keyakinan serta kemahiran profesional.

Kini, Aini berkhidmat sebagai Growth & Operations Executive di Sehat Jobs, dengan penglibatan dalam pengurusan operasi, penggunaan teknologi dan pelaksanaan inisiatif pertumbuhan syarikat.

Pengalaman hampir sama dilalui Muhammad Irfan bin Mohammad Fuad, alumni PDP 2025, yang menyertai program itu selepas lebih tiga tahun melalui pengalaman underemployment dan melakukan pelbagai pekerjaan yang tidak selari dengan latar belakang akademiknya.

Menerusi PDP, Irfan membina kemahiran dalam komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan etika profesional, selain mengamalkan nilai HARAP – Humble, Agile, Resilient, Adab dan Professionalism.

Penempatan on-the-job training di Al-Ikhsan memberinya pengalaman dalam bidang jualan, pengurusan pihak berkepentingan, analisis data, acara dan jualan digital.

Selepas melalui pelbagai pengalaman kerjaya, Irfan kini meneruskan kerjayanya sebagai International Customer Service di Hapag-Lloyd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button