Kebolehpasaran graduan TVET MARA capai 97.94%
KUALA LUMPUR – Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan luar biasa sebanyak 97.94 peratus bagi tahun 2025, sekali gus mengatasi purata industri nasional yang berada pada tahap 90 peratus.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pencapaian tersebut adalah hasil strategi penjenamaan semula yang menyatukan Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) bagi memenuhi standard kompetensi global.
“Kita bukan sekadar menukar nama, tetapi menaik taraf program menerusi kolaborasi strategik bersama gergasi teknologi seperti Huawei dan Cisco.
“Pelajar dibekalkan dengan pensijilan profesional berkembar yang membolehkan mereka ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian,” katanya dalam sidang media tahunan MARA di sini, hari ini.
Beliau menegaskan fokus kini beralih kepada bidang teknologi tinggi dan kritikal termasuk Keselamatan Siber, elektrikal dan tenaga solar melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga serta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).
“Kita mahu graduan TVET MARA tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua. Kadar 97.94 peratus ini membuktikan modul yang dibangunkan bersama industri adalah tepat dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa,” jelas beliau.
Tambahnya, bagi mengukuhkan sektor tersebut, MARA kini menyasarkan transformasi graduan daripada pekerja mahir kepada pemilik perniagaan melalui agenda 3P iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan dalam sektor ekonomi baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








