BERITA SEMASASUKAN

‘Ada agenda lebih besar di sebalik tindakan FIFA’ – TMJ

KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail percaya tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain berketurunan warisan negara mungkin didorong agenda lebih besar yang menyasarkan Malaysia.

Menurut Tunku Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution sudah jelas menyatakan proses untuk memberikan kerakyatan kepada tujuh pemain itu dibuat berdasarkan perlembagaan, undang-undang dan pertimbangan berhati-hati.

“Kita perlu sentiasa menyokong proses rayuan dan bersatu di belakang pasukan kebangsaan kita, bukan menyemai rasa kurang harmoni dan perpecahan.

“Ada agenda lebih besar di sini menentang Malaysia. Saya yakin akan itu,” kata Tunku Ismail di platform Instagram Story sambil
berkongsi kenyataan Saifuddin Nasution yang menjawab mengenai isu kewarganegaraan.

FIFA
Tangkap layar Instagram Story Tunku Mahkota Ismail.

Dalam kenyataan itu, Saifuddin menegaskan, pemberian kewarganegaraan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Baca juga : Bagi peluang FAM buat rayuan – Hannah

Kenyataan tersebut turut dikongsikan bekas Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button