JENAYAH & MAHKAMAH

Kes rasuah Shamsul Iskandar Mohd Akin kekal di Mahkamah Sesyen

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kekal didengar di Mahkamah Sesyen selepas permohonannya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi ditolak hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, peruntukan itu hanya membenarkan pemindahan kes jenayah ke Mahkamah Tinggi atas alasan terhad termasuk melibatkan isu perundangan yang kompleks atau demi kepentingan keadilan.

“Saya mendapati pemohon tidak memenuhi kehendak Seksyen 417.

“Memandangkan undang-undang berhubung isu ini jelas, saya tidak melihat sebarang alasan untuk menyimpang daripada duluan kehakiman yang ditetapkan dengan sebahagiannya bersifat mengikat.

“Sehubungan itu, permohonan ini ditolak,” katanya ketika menyampaikan keputusan.

Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, manakala tertuduh diwakili peguam, Amer Hamzah Arshad.

Sebelum itu, Disember lalu, Shamsul yang juga Ketua PKR Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM241,753 membabitkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dalam afidavit sokongannya, beliau mendakwa kes tersebut melibatkan isu perlembagaan serta persoalan undang-undang kompleks yang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah atasan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan hujah berkenaan tidak mencukupi untuk membolehkan kes tersebut dipindahkan, sekali gus menetapkan perbicaraan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button