Video Albert Tei : Hentikan spekulasi, serah kepada SPRM
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar) menggesa semua pihak menghentikan spekulasi berhubung klip video tular yang mengaitkan ahli perniagaan Albert Tei dengan bekas Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.
Presidennya, Mohd. Nasir Ab Hadi menegaskan, dakwaan rasuah yang dibangkitkan tidak sepatutnya dijadikan bahan permainan politik khususnya ketika negara semakin hampir menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang mendakwa memiliki bukti berkaitan salah laku wajib tampil membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan menyeluruh.
“Integriti proses siasatan harus menjadi keutamaan. Biarkan SPRM menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan atau campur tangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd. Nasir, apa juga keputusan hasil siasatan kelak perlu diterima dengan berlapang dada sebagai menghormati prinsip kedaulatan undang-undang, integriti serta keadilan.
Media tempatan hari ini melaporkan bahawa SPRM akan menyiasat dakwaan pemberian rasuah oleh Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua individu berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Semalam, Shamsul Iskandar memaklumkan menerusi platform X bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan dakwaan yang menurutnya bertujuan merosakkan imej kerajaan Madani.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








