BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ketua Pemuda UMNO mahu Azam Baki direhatkan

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ‘direhatkan’ sementara sehingga siasatan berhubung isu pegangan sahamnya dimuktamadkan.

Menurut beliau, langkah itu bukan bersifat menghukum, sebaliknya satu pendekatan pentadbiran yang lazim diamalkan bagi memastikan integriti institusi terus terpelihara ketika siasatan sedang berjalan.

“Ini amalan standard dalam mana-mana organisasi yang mementingkan integriti. Rehat sementara bukan hukuman, tetapi bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.

“Prinsipnya mudah, berani kerana benar. Jika tidak bersalah, tiada apa yang perlu ditakuti. Malah ia membuka ruang kepada siasatan dijalankan secara bebas dan telus.

“Sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali dengan mandat moral yang lebih kukuh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut menegaskan, sekiranya siasatan mendapati wujud salah laku, proses undang-undang perlu dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.

“Rakyat bukan sahaja mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras. Ketelusan bukan pilihan, ia satu keperluan. Kepercayaan tidak lahir melalui kenyataan, tetapi melalui tindakan berani yang membuktikan institusi lebih besar daripada individu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat isu tersebut turut dipantau badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keputusan siasatan tidak dilihat sebagai ‘kerajaan menyiasat kerajaan’, sekali gus mengukuhkan legitimasi moral hasil siasatan di mata rakyat.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa siasatan berhubung isu pemilikan saham Azam akan dilaksanakan oleh jawatankuasa khas yang diputuskan Jemaah Menteri dan Azam sendiri menyatakan kesediaan untuk disiasat.

Semalam pula, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut memberi amaran tegas bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam usaha memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk SPRM.

Baginda menegaskan, rasuah adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button