POLITIK

PRN Melaka: Zahid ingatkan jentera BN, PN berkempen secara berhemah

ISTANBUL – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera parti dan petugas kempen BN serta Perikatan Nasional (PN) khususnya di peringkat akar umbi, supaya lebih berhemah dan bijaksana sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, kempen yang semakin sengit antara kedua-dua gabungan itu turut menyaksikan pertelingkahan berhubung isu yang tidak sepatutnya dibangkitkan.

Menurutnya, kedua-dua pihak sebelum ini sudah menjelaskan bahawa isu remeh yang tiada kaitan dengan PRN Melaka tidak seharusnya dijadikan bahan kempen, namun perkara itu masih berlaku.

“Bagi saya dan pengerusi gabungan di pihak satu lagi, kami amat menghormati perkara yang sudah dipersetujui bersama. Walaupun tiada perjanjian rasmi, persefahaman itu tetap penting.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak, khususnya jentera parti dan petugas kempen di peringkat akar umbi, supaya lebih berhemah ketika menjalankan kempen,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pramajlis sempena lawatan kerja selama empat hari ke Turkiye.

Mengulas perkembangan kempen PRN Melaka yang bakal memasuki minggu kedua, beliau berkata, berdasarkan laporan bebas, pengundi di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dipercayai sudah membuat keputusan mengenai calon dan gabungan yang akan dipilih.

Sehubungan itu, katanya, kempen secara berlebihan tidak akan mengubah pandangan atau keputusan yang sudah dibuat pengundi.

Pada PRN Melaka kali ini, BN bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN, manakala PN bertanding di baki lima kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button