BERITA SEMASA

133,081 saman terhadap pemandu warga asing dikeluarkan dalam tempoh lapan bulan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 133,081 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing bagi pelbagai kesalahan jalan raya dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 21,232 kes membabitkan kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).

Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,933 kes memandu tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) direkodkan, manakala 85 kes membabitkan kesalahan memandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Antara kesalahan lain ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada permit masuk atau International Circulation Permit (ICP) serta kesalahan membawa muatan berlebihan.

“Bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang, pendekatan penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu dilaksanakan, termasuk pemeriksaan dokumen pemandu serta kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad (Perikatan Nasional-PN) yang meminta jumlah kes direkodkan serta tindakan susulan bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.

Menurutnya, tindakan turut diambil terhadap kenderaan yang melanggar undang-undang menerusi kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya bagi kes membabitkan status imigresen atau kesalahan lain.

Katanya, Kementerian Pengangkutan turut menegaskan tanggungjawab pemilik kenderaan dan majikan untuk memastikan hanya individu yang memiliki lesen memandu sah dibenarkan memandu di jalan raya.

“Sehubungan itu, JPJ akan terus mempergiat operasi bersasar di lokasi dan sektor berisiko tinggi.

“Ia bagi meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemandu, pemilik kenderaan dan majikan, termasuk membabitkan warga asing,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button