Sanusi enggan tunduk kepada tuntutan maaf Vincent Tan
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor enggan membuat permohonan maaf kepada Tan Sri Vincent Tan susulan kenyataan beliau yang dikatakan memfitnah taikun perniagaan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Jeneri itu berkata, beliau tidak akan tunduk kepada tuntutan pengasas Berjaya Land Berhad itu kerana mempunyai bukti yang cukup untuk mempertahankan dirinya.
“Tak (minta maaf), kes itu sedang berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan.
“Kita tengok sehari dua lagi. Itu sahajalah,” katanya.
Vincent Tan semalam memberi tempoh sehari kepada Sanusi untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta.
Kenyataan Sanusi baru-baru ini adalah berhubung perolehan projek pembersihan Sungai Klang oleh syarikat milik Vincent Tan daripada kerajaan negeri Selangor.
Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika ‘Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ pada 2 Ogos lalu.
Dalam surat yang dikeluarkan melalui firma undang-undang Pierre Chuah & Associates, peguam Tan menegaskan bahawa dakwaan Sanusi adalah “jelas palsu, tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, dan berniat jahat terhadap anak guam kami”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








