DBKL laksana integrasi sistem e-Lesen, SPJ mulai Julai
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkukuh penguatkuasaan pelesenan dan saman trafik menerusi integrasi Sistem e-Lesen dengan Sistem SPJ (kompaun DBKL), yang akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Julai ini.
Melalui pelaksanaan sistem bersepadu itu, semua permohonan baharu atau pembaharuan lesen perniagaan tidak akan diluluskan sekiranya masih terdapat tunggakan kompaun atau saman trafik DBKL.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, langkah pembaharuan itu dilaksanakan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan lebih cekap, tersusun dan berkesan selain memenuhi keperluan warga kota terhadap penguatkuasaan yang lebih konsisten, telus dan efektif.
“Melalui integrasi ini, setiap permohonan baharu atau pembaharuan lesen perniagaan akan tertakluk kepada penyelesaian tunggakan kompaun dan saman trafik DBKL,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan pelaksanaan sistem baharu berjalan lancar, DBKL turut memperkenalkan Inisiatif Pemutihan Rekod Kompaun secara khas dan one-off dalam Tempoh Ihsan bermula 25 Mei hingga 30 Jun ini.
Menurut DBKL, pendekatan khas itu bertujuan memberi peluang kepada warga kota menyelesaikan rekod kompaun lama yang tertunggak sejak bertahun-tahun sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.
“Di bawah inisiatif tersebut, kadar khas penyelesaian saman trafik ditawarkan mengikut tempoh tunggakan iaitu RM5 bagi saman melebihi 15 tahun, RM10 untuk saman antara 10 hingga 15 tahun dan RM20 bagi saman berusia lima tahun hingga 25 Mei 2026,” katanya.
Pada masa sama, DBKL turut meneruskan inisiatif pembaharuan lesen sehingga maksimum tiga tahun bagi memudahkan komuniti perniagaan.
“Pelesen yang memperbaharui lesen bagi tempoh dua tahun akan menikmati diskaun fi lesen sebanyak lima peratus, manakala pembaharuan tiga tahun diberikan diskaun 10 peratus, tertakluk kepada syarat termasuk tiada tunggakan kompaun dan saman trafik,” kata kenyataan itu lagi.
DBKL berkata, langkah itu diambil bagi menggalakkan pematuhan, mengurangkan beban urusan pembaharuan tahunan serta memastikan sistem pelesenan dan penguatkuasaan lebih efisien dapat dilaksanakan sebagai piawaian baharu di ibu negara.
Semakan kompaun dan saman trafik boleh dibuat menerusi pautan https://share.google/jGhyJJ2HkQMzRwSpCk
Bagi pembayaran pula, boleh dilakukan secara dalam talian melalui pbtpay.kpkt.gov.my selain di kaunter DBKL dan Pos Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















