DBKL diarah buka semula Padang Merbok – Dr Zaliha
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah membuka semula laluan masuk ke Padang Merbok bagi membolehkan orang ramai menggunakan kemudahan taman itu sebagai ruang rekreasi bersama keluarga dan komuniti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, Padang Merbok yang mempunyai nilai sejarah tersendiri wajar dikembalikan kepada rakyat seiring visi Bandar CHASE yang menekankan konsep Healthy City (bandar sihat).
“Sebentar tadi saya turun sendiri ke Padang Merbok selepas menerima makluman kawasan itu ditutup kepada orang awam. Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan tindakan tersebut.
“Justeru, saya telah mengarahkan DBKL membuka pintu pagar Padang Merbok untuk kegunaan orang ramai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Dr Zaliha berkata, DBKL juga diminta menambah baik prasarana asas seperti pencahayaan, tandas awam dan kemudahan mesra pengunjung lain sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial terhadap warga kota.
Selain itu, DBKL turut disaran menganjurkan pelbagai program bersesuaian bagi menghidupkan kembali Padang Merbok supaya ia terus dimanfaatkan rakyat secara tersusun.
“Antara cadangan lain ialah pembukaan sebuah kafe sebagai tarikan baharu agar lebih ramai pengunjung dapat hadir, sekali gus menjadikan Padang Merbok ikon riadah utama di ibu negara.
“DBKL diminta meneliti semua perkara itu dan membentangkannya semula kepada saya dalam masa terdekat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








