Kabinet tubuh pasukan petugas khas siasat isu pegangan saham Azam Baki
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini sebagai sebahagian daripada usaha memastikan ketelusan dan integriti dalam proses siasatan.
“Jemaah Menteri membincangkan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan memutuskan bahawa satu pasukan petugas khas yang diketuai KSN akan menyiasat dakwaan perkara-perkara yang dibangkitkan.
“Setelah selesai siasatan, hasilnya akan dibentangkan kepada Kabinet untuk tindakan susulan,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini hari ini.
Mengulas sama ada cadangan untuk menggantung Azam daripada jawatannya turut dibincangkan, Fahmi berkata perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Kita serahkan kepada KSN dan pasukan petugas khas untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Terdahulu, laporan media antarabangsa, Bloomberg mendakwa kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan kerajaan berhubung pegangan saham oleh Azam.
BACA JUGA:
Pegangan saham RM800,000 sudah diisytihar kepada JPA – Azam Baki
Azam Baki sedia disiasat berhubung isu pegangan saham
Bagaimanapun, Azam menegaskan pemerolehan sahamnya dibuat secara telus dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.
Beliau turut menyatakan bahawa beliau kini tidak lagi memegang sebarang saham dalam mana-mana syarikat dan akaun dagangannya adalah kosong yang boleh disahkan melalui Bursa Malaysia.
Azam juga memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg atas dakwaan yang disifatkannya sebagai fitnah, mengelirukan dan mencemarkan reputasi serta integriti beliau dan SPRM.
Sehari selepas itu, pada 11 Februari, Bloomberg menerbitkan satu lagi laporan yang mendakwa penglibatan SPRM dalam sindiket ‘mafia korporat’.
Mengulas perkara itu, Azam berkata beliau bersedia untuk disiasat oleh jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti isu berkaitan pemilikan sahamnya.
Menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, Azam berkata siasatan yang bebas dan telus amat penting bagi mempertahankan integriti peribadinya serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap SPRM sebagai sebuah institusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








