SPRM buka dua kertas siasatan isu ketidakpatuhan tatakelola, pengurusan kewangan UKM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan susulan isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan yang didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan kini menumpukan kepada program pengambilan pelajar yang didapati tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah serta isu tuntutan palsu.
“Setakat ini tiada saksi dipanggil dalam siasatan dan pihaknya akan mendapatkan dokumen penting daripada UKM bagi tujuan penyiasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Baca juga : LKAN 2026: UKM akan ambil tindakan disiplin, undang-undang
LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru mendedahkan UKM dikesan menghadapi ketakteraturan serius serta pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan universiti yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan.
Menurut laporan itu, kutipan hasil dibuat oleh pihak yang tidak diberi kuasa, iaitu Koperasi B-5-1788, bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta, merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) sebanyak RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.
Selain itu, hasil yuran pelajar berjumlah RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788, termasuk RM0.87 juta diterima UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan, tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.
Laporan itu menyatakan agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788, berjumlah RM21.02 juta, diserahkan kepada UKM secara lewat antara 31 hingga 291 hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








