BERITA SEMASAPMX

Ketegasan Azam Baki perangi rasuah yakinkan kerajaan sambung kontrak

JOHOR BAHRU – Meskipun dikritik hebat, keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dibuat atas dasar keyakinan terhadap keberanian beliau dalam memerangi rasuah secara tegas dan menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berpegang kepada pendirian bahawa Azam telah menunjukkan ketegasan yang luar biasa dalam membanteras rasuah, termasuk terhadap individu berprofil tinggi.

“Saya percaya, melihat kepada perkembangan SPRM selama puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua ‘tauke besar’.

“Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan rakan-rakan dalam Kabinet, boleh sahaja ganti esok, tetapi saya tidak yakin pengganti itu akan cukup berani menyinggung ‘tauke besar’ yang memiliki kekayaan berbilion ringgit,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini malam tadi.

Tambah beliau, SPRM kini mengambil tindakan tegas terhadap individu berpangkat tinggi termasuk yang bergelar Datuk Seri, Tan Sri dan Tun, menunjukkan komitmen baharu agensi itu dalam menegakkan integriti pentadbiran.

Justeru, Anwar yang juga Perdana Menteri menyeru semua pihak memberikan ruang kepada SPRM untuk melaksanakan tugas tanpa diganggu atau disalah tafsir.

“Bagi ruang kepada Azam. Sementara itu, kita cari pengganti yang benar-benar kita yakin berani. Peralihan akan berlaku dalam kepimpinan SPRM,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button