BERITA SEMASA

Asyraf Wajdi tuntut RM5 juta dalam saman fitnah isu Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang didakwa memfitnah serta memburukkan reputasinya dengan mengaitkannya dengan pelbagai isu berkaitan Tabung Haji.

Beliau berkata, Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah bernilai RM5 juta akan disediakan dan diserahkan kepada pemilik akaun terbabit secara berperingkat, bermula petang ini.

“Saya telah mengarahkan peguam saya, Datuk Adnan Seman untuk menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu Tabung Haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, tindakan itu diambil terhadap pemilik akaun yang didakwa mempunyai niat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi serta mencemarkan maruahnya melalui penyebaran dakwaan tidak benar.

Katanya, tindakan undang-undang berkenaan bukan bertujuan mendapatkan keuntungan kewangan, sebaliknya bagi memberi ruang kepada kebenaran dibuktikan melalui proses mahkamah.

“Bukan wang yang saya cari, tapi Insya-Allah, Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya menerima sebarang jumlah yang ditentukan mahkamah menerusi tindakan saman berkenaan, wang tersebut akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin, anak yatim dan golongan yang memerlukan.

“Sebagaimana saman-saman terdahulu, saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh Mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button