JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat dakwaan anggota IPD Ipoh terima wang

IPOH – Polis membuka siasatan dalaman susulan tular sebuah video di media sosial yang memaparkan dakwaan anggotanya mengambil wang daripada seorang lelaki dalam satu kejadian yang belum dikenal pasti lokasinya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asistan Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti lokasi sebenar kejadian serta anggota yang terlibat.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan peronda polis yang digunakan dalam video berkenaan mempunyai tanda panggilan ‘PK 56’ yang merupakan milik kontinjen Perak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Bagaimanapun, lokasi kejadian dan identiti anggota yang terlibat masih dalam proses pengesahan.

“Satu siasatan dalaman telah dibuka bagi mengenal pasti lokasi sebenar kejadian dan anggota yang terlibat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, rapi dan adil.

“Pihak polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang boleh menjejaskan integriti pasukan.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau peraturan yang dilakukan oleh mana-mana pegawai atau anggota,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes berkenaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button