BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Op Middleman: SPRM sita RM7.69 juta, tahan empat pegawai JPJ, polis trafik

PUTRAJAYA – Kegiatan rasuah melibatkan kumpulan tonto dan pegawai penguat kuasa yang berlarutan sejak 2021 terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan transaksi berjumlah RM12 juta menerusi Ops Middleman bulan lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kegiatan itu dikesan menerusi operasi yang dijalankan di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, transaksi berkenaan membabitkan pembayaran melalui akaun keldai bagi mendapatkan maklumat dalaman selain memastikan kenderaan perdagangan tidak dikenakan tindakan.

“Bayaran rasuah bagi setiap transaksi adalah kecil iaitu sekitar bawah RM1,000 tetapi dilakukan berulang kali. Tonto bertindak sebagai pemudah cara antara pemilik syarikat lori dan pegawai penguat kuasa.

“Mereka menjadi perantara untuk melunaskan bayaran rasuah. Kita mengesan kedudukan dan keberadaan mereka serta menjejaki simpanan wang dalam akaun-akaun syarikat tertentu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara pegawai penguat kuasa yang ditahan termasuk empat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan empat daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Siasatan turut membabitkan dua pemilik syarikat, tujuh tonto serta seorang pemilik akaun keldai, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini seramai 18 orang.

“Setakat ini empat saksi telah dirakam percakapan dan beberapa lagi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan. Siasatan terhadap tonto dibuka di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 manakala siasatan terhadap pegawai penguat kuasa di bawah Seksyen 17(a) akta sama.

“Siasatan masih berjalan dan dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk diselesaikan,” katanya.

Azam berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM326,625, dolar Singapura 7,000, 25 juta rupiah serta 25 kenderaan mewah bernilai RM2.5 juta selain barang kemas, radio ‘walkie-talkie’ dan membekukan 59 akaun bank.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan sitaan dan pembekuan dianggarkan bernilai RM7.69 juta.

“Harta yang diperoleh akan melalui proses pelucuthakan. Peringkat pengumpulan risikan mengambil masa kira-kira tiga bulan. Cabaran terbesar ialah mendapatkan bukti daripada masyarakat serta menjejaki wang dan aset kerana kekangan maklumat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button