SPRM bukan sekadar tangkap, siasatan perlu lengkap sebelum dakwa – Azam Baki
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menepis dakwaan bahawa agensi itu hanya menumpukan kepada tangkapan tanpa memastikan kes dibawa ke mahkamah, tuduhan sedemikian tidak menggambarkan proses siasatan sebenar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perbahasan awam sering tertumpu kepada perbandingan jumlah tangkapan dan pendakwaan, tanpa mengambil kira keperluan penyiasatan menyeluruh sebelum sesuatu kes boleh dibawa ke muka pengadilan.
“Ini bahaya apabila kita bermain dengan statistik. Ada yang beranggapan jika 100 orang ditangkap, maka kesemua 100 itu mesti didakwa,” memetik NST online.
Menurut beliau, siasatan kes rasuah bukan sekadar bergantung kepada angka atau transaksi kewangan semata-mata, sebaliknya memerlukan penelitian mendalam bagi memastikan wujud elemen kesalahan yang kukuh.
Mengulas kes terbaharu membabitkan seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Azam berkata laporan media sering memfokuskan kepada aliran wang, namun perkara itu sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan berlaku rasuah.
“Kita perlu lihat lebih jauh. Jika rasuah berlaku, ke akaun siapa wang itu dimasukkan? Siapa yang memberi? Apa kaitannya dengan projek yang terlibat? Ini antara cabaran utama penyiasat,” katanya lagi.
Azam mengakui terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat berhubung kekurangan pendakwaan yang kelihatan, namun menegaskan keputusan untuk mendakwa bukan terletak di bawah bidang kuasa SPRM.
“Saya tidak menyalahkan orang ramai kerana itu persepsi yang wujud.
“Keputusan untuk mendakwa berada di bawah kuasa Peguam Negara, pihak pendakwaan serta kementerian berkaitan berdasarkan hasil siasatan kami,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang sering dikaitkan dengan isu kebebasan pendakwaan serta keyakinan awam terhadap sistem keadilan.
Menurut Azam, perbahasan mengenai cadangan itu lazimnya menyentuh tiga perkara utama iaitu kejelasan peranan, kebebasan serta kebimbangan terhadap campur tangan pihak tertentu.
“Terdapat persepsi bahawa Peguam Negara mencampuri semua urusan. Begitulah pandangan sesetengah pihak,” katanya lagi.
Beliau berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, kuasa pendakwaan sebenarnya terletak pada Pendakwa Raya, bukannya secara khusus kepada Peguam Negara.
Sekiranya peranan itu dipisahkan, Pendakwa Raya akan mempunyai kuasa bebas untuk menentukan sama ada sesuatu kes diteruskan, ditarik balik atau dihentikan, manakala Peguam Negara pula akan menumpukan kepada peranan menasihati kerajaan.
Ditanya mengenai kesan reformasi itu terhadap operasi SPRM, Azam menegaskan ia tidak menjejaskan fungsi suruhanjaya berkenaan.
“Tiada kesan kepada SPRM. Sesiapa pun yang memegang jawatan Pendakwa Raya, kami tetap merujuk kes kepada pihak itu. Tugas kami ialah menyiasat,” katanya lagi.
Tambah beliau, isu tersebut lebih menjurus kepada pembaharuan struktur sistem perundangan dan bukan perubahan terhadap amalan penguatkuasaan SPRM.
“Bagi kami, ia tidak banyak beza. Ini soal bagaimana sistem perundangan disusun, bukan tentang mengubah cara SPRM menjalankan siasatan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








