12 individu ditahan disyaki gubah wang haram, rasuah, palsu dokumen pinjaman bank
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya menumpaskan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan beberapa orang pegawai bank.
Menurut sumber kepada Malaysia Tribune, serbuan Op Sky itu dilakukan di 24 lokasi sekitar Lembah Klang, termasuk pejabat dan kediaman, semalam.
Seramai 12 individu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an, termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan serta bekas pengurus jualan institusi perbankan ditahan reman selama lima hari sehingga 18 Januari.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sindiket itu didakwa membantu penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi melalui penyediaan dokumen palsu dengan sogokan kepada pegawai perbankan bagi meluluskan pinjaman.
“Sindiket ini memperkenalkan penjawat awam kepada syarikat perunding kewangan yang menawarkan bantuan skim ‘multiple loan’.
“Mereka menyediakan dokumen palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada pelbagai institusi kewangan,” katanya.
Menurut Azam, syarikat perunding akan mendahulukan wang kepada pelanggan bagi melangsaikan hutang, kemudian melaburkan baki pinjaman dalam skim pelaburan.
Dalam operasi itu dilakukan dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM itu, sebanyak 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta dibekukan.
Antara barangan yang dirampas adalah:
Sembilan kenderaan mewah, termasuk Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, Toyota Alphard dan BMW.
Wang tunai lebih RM300,000 serta mata wang Hong Kong bernilai HKD95,000 (RM54,973).
17 utas jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM11.1 juta.
5 beg tangan berjenama bernilai RM430,000 dan barang kemas bernilai lebih RM50,000.
2 komputer riba dan 2 tablet.
“Operasi ini membuktikan komitmen SPRM bersama BNM dalam menumpaskan kegiatan rasuah yang mencemarkan sistem kewangan negara,” kata Azam.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan suspek yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita berusia 20-an hingga 40-an.
Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
SPRM menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam sindiket sebegini, demi melindungi integriti institusi kewangan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment