
Ops Sky: Empat lagi ditahan berhubung pengubahan wang haram
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai bank bagi membantu siasatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan.
Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah yang ditahan SPRM berhubung kes itu setakat ini 16 orang melalui Ops Sky.
Menurut sumber, serbuan dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.
Sumber berkata, empat individu berkenaan akan direman hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan itu.
Rabu lalu, Malaysia Tribune melaporkan 12 individu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan dan bekas pengurus jualan institusi perbankan direman selama lima hari.
Sindiket itu didakwa membantu penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi melalui penyediaan dokumen palsu dengan sogokan kepada pegawai perbankan bagi meluluskan pinjaman.
Dalam operasi sebelum ini, sebanyak 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai RM16.2 juta dibekukan.
Semalam, SPRM mengesan hampir RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket menawarkan bantuan kewangan.
Sumber memberitahu, nilai pinjaman berkenaan diluluskan dalam tempoh hampir lima tahun sindiket itu beroperasi, bermula era pandemik Covid-19.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune