JENAYAH & MAHKAMAH

Dua lelaki miliki 40 rekod jenayah ditahan kes curi barang kemas

TEMERLOH – Polis menahan dua lelaki yang mempunyai keseluruhan 40 rekod jenayah dan narkotik kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian barang kemas di sebuah kedai emas di Jalan Ahmad Shah, di sini, pada 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kedua-dua suspek berusia 42 dan 46 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Perlis dan Pahang pada Ahad.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan pada jam 11.50 pagi di sebuah rumah di Kampung Padang Siding, Arau membabitkan suspek berusia 46 tahun.

“Tangkapan kedua pula dibuat pada jam 10.45 malam hari sama di kawasan Perumahan Makmur Hijrah Jaya 4, Kuantan membabitkan suspek berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh kampung.

“Suspek kedua mempunyai 22 rekod lampau melibatkan sembilan kes jenayah dan 13 kesalahan narkotik, manakala suspek pertama mempunyai 18 rekod (lima jenayah dan 13 narkotik),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek pertama mengaku terlibat dalam kejadian curi tersebut dengan suspek kedua bertindak sebagai pemandu.

“Suspek pertama juga dipercayai telah menjual barangan kemas yang dicuri di Kuantan,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari, pemilik kedai emas berusia 32 tahun mendakwa didatangi seorang lelaki yang berpura-pura membeli barang kemas sebelum melarikan seutas rantai tangan seberat lebih lapan gram bernilai kira-kira RM5,000.

Kejadian itu berlaku dalam tempoh kira-kira lima minit ketika hanya tiga individu berada di dalam premis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button