BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas didenda RM100 bergurau bawa ‘bom’ di LTAPP

BALIK PULAU – Gara-gara bergurau membawa bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), seorang warga emas berusia 64 tahun dikenakan denda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ng Kok Yeow membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Jika gagal membayar denda, dia bakal berdepan hukuman penjara tiga hari.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memberitahu seorang petugas Malaysia Airlines bahawa terdapat bom di dalam beg rakannya.

Kata-katanya turut didengar beberapa petugas lain, namun pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang bahan berbahaya ditemui.

Kejadian berlaku di kaunter daftar masuk nombor 44 LTAPP pada jam 10.30 malam, 11 Mac lalu.

Ng didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya R Lushani, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan.

Dalam prosiding, Lushani menegaskan bahawa perkara sensitif seperti bom tidak boleh dijadikan bahan gurauan, apatah lagi di lokasi yang mempunyai kawalan keselamatan ketat seperti lapangan terbang.

Ng bagaimanapun membayar denda tersebut serta-merta dan dibenarkan pulang selepas prosiding tamat.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button