JENAYAH & MAHKAMAH

Premis snuker disamun tiga lelaki bersenjata parang

KLANG – Beberapa pelanggan dan pekerja sebuah premis snuker di Kapar di sini melalui detik cemas apabila didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun yang berlaku sekitar jam 7 malam, kelmarin.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 52 saat yang kini tular di media sosial memaparkan tiga lelaki memakai topi keledar penuh memasuki premis tersebut sebelum mengacukan parang ke arah pelanggan dan pekerja yang sedang leka bermain snuker.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek melarikan wang tunai berjumlah RM823 dari kaunter pembayaran.

“Suspek mengugut pekerja dengan parang sebelum menggeledah laci kaunter dan melarikan wang tunai.

“Tiga lagi rakan mereka dipercayai menunggu di luar premis dengan menaiki motosikal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun pelanggan dan pekerja berada dalam keadaan trauma selepas diacukan senjata berbahaya oleh suspek.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata berbahaya.

“Usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di talian 03-3291 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.

Vijaya Rao turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap semua yang terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button