BERITA SEMASA

Bawa pulang Jho Low: “Belum lagi, masih jauh” – Azam Baki

SEPANG – Tan Sri Azam Baki menyifatkan  penahanan bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan belum memadai untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, penemuan Jho Low masih jauh kerana banyak faktor perlu diambil kira termasuk tempoh siasatan ke atas Jasmine.

“Dia (Jasmine) dalam siasatan dan kita soal siasat dia bagi kes penggubahan wang haram dan rasuah.

“Dia bukan di bawah penjagaan kami tapi dia bawa polis, polis bawa dia kepada kami untuk bantu soal siasat. Setakat ini tempoh soal siasat adalah selama tiga hari tetapi kalau ada keperluan untuk tambah kami akan minta polis bantu kita

“Saya tidak pasti kalau awak tanya pendapat saya belum lagi masih jauh (Jho Low hampir temui),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kali Ke-2 Tahun 2023 di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini, pagi ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua aset diperoleh Jasmine hasil daripada penyelewengan dana 1MDB dan hadiah daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Antara aset dirampas dan dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang keseluruhannya bernilai RM93.2 juta.

Menurut Ayob, wanita terbabit yang dilantik sebagai penasihat undang-undang 1MDB menerima bayaran gaji bulanan berjumlah RM40,000 sejak Mei 2011.

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, sehingga kini, polis dan pihak SPRM sedang berusaha untuk membawa pulang sekiranya ada lebihan wang yang telah ditemui sebelum ini.

“Tapi setakat ini jumlah wang yang berjaya dibawa balik dan itulah jumlahnya.

“Saya tidak pasti daripada siasatan kita saya tidak pasti ada lagi atau tidak tapi kalau ada kita akan cuba untuk bawa balik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button