Pegawai TLDM mengaku tidak bersalah terima suapan RM93,800
SHAH ALAM – Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM93,800 secara berperingkat antara 2023 hingga 2025.
Tertuduh, Kapten Mahazam Ali, 47, membuat pengakuan itu selepas semua lapan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Mahazam didakwa menerima wang antara RM10,000 hingga RM14,400 bagi setiap transaksi melalui beberapa deposit bank yang dilakukan antara Oktober 2023 hingga April 2025 di sebuah bank di Shah Alam.
“Wang berkenaan didakwa diterima daripada Chong Gui Lin, melalui seorang individu dikenali sebagai Siti Nor Badariah Marzuki, ketika tertuduh memegang jawatan berkaitan sumber manusia dan komunikasi elektromagnetik di Kementerian Pertahanan,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







