BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM tahan penolong pengarah agensi penguat kuasa, lima individu terlibat rasuah

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang penolong pengarah agensi penguat kuasa dan lima individu lain kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan penyeludupan di Tumpat, Kelantan.

Perintah reman selama lima hari terhadap kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi semalam.

Menurut sumber, berdasarkan risikan SPRM, kesemua suspek termasuk penolong pengarah agensi penguat kuasa berkenaan dipercayai terlibat melindungi kegiatan penyeludupan haiwan hidup selain beberapa barangan bersubsidi seperti minyak dan tepung.

“Pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai telah menerima rasuah antara RM5,000 hingga RM10,000 daripada beberapa suspek terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan itu.

“Kesemua suspek ditahan menerusi Op Smug sekitar pukul 2.20 hingga 4.40 petang kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dengan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button